Artikel Semasa



Dalil naklinya firman Allah Taala
ﻭﻜﻟﻢ ﺍﷲ ﻤﻭﺴﻰ ﺘﻜﻟﻴﻤﺎ
Artinya :dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa Dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).

Dalil aklinya ialah sekiranya Allah itu tidak bersifat dengan sifat kalam niscaya Dia bersifat dengan lawannya iaitu bisu.Bisu itu sifat kekurangan.Mustahil Allah bersifat dengan kekurangan wajiblah kita percaya Dia bersifat dengan kesempurnaan iaitu berkata – kata.

 Ada persoalan benarkah, Al Quran itu kalam Allah tetapi ada baginya huruf , perkataan dan ayat. Bukan kah kalam Allah itu tidak mempunyai huruf dan ayat? kalam Allah itu terbagi dua:-
i) Kalam Allah yang nafsi - Inilah kalam Allah yang tidak berhuruf dan bersuara dan merupakan kalam yang hakiki.Keadaannya sentiasa bagi Allah dan tidak pernah berpindah dari zat Allah kerana ia merupakan sifat Allah yang kadim lagi azali dan bukannya makhluk.

ii) Kalam Allah yang lafzi – Iaitu kalam Allah yang tersurat di dalam mushaf , berhuruf dan bersuara dan yang dituturkan oleh malaikat Jibril kepada nabi Muhammad saw.
Kalam Allah yang nafsi itulah kalamNya yang hakiki yang tidak berhuruf dan tidak bersuara.Selama – lamanya bagi Allah dan tidak berpindah kepada yang lain. Adalah Al Quran itu disebut kalam Allah kerana ianya menunjukkan kepada makna kalam Allah yang hakiki yang ada pada zat Allah yang mana Al Quran itu berasal daripada kalam Allah yang nafsi yang hakiki itu , dan malaikat Jibril memahaminya daripada Allah hal keadaannya tidak berhuruf dan bersuara.

Kemudian malaikat Jibril menuturkan kalam Allah yang telah difahaminya itu kepada malaikat hafazah maka menjadilah ia kalam lafzi lalu dituliskan di luh mahfuz dan diberi huruf satu – persatu sehingga selesai tiga puluh juzuk sekali gus.Kemudian diturunkan sekali lagi ke Baitul Izzah di langit dunia juga keadaannya sekali gus.Kemudian baharulah diturunkan kepada nabi kita Muhammad saw sedikit demi sedikit di dalam tempoh dua puluh dua tahun , dua bulan , dua puluh dua hari.Adalah suara Al Quran yang dituturkan oleh malaikat Jibril , yang ditulis di luh mahfuz , juga yang ditulis di Baitul Izzah dan yang ditulis di mashaf – mashaf di atas dunia ini , kertasnya , huruf – hurufnya , dakwatnya dan bunyi suara qari yang membacanya itu adalah kalam lafzi dan ianya makhluk dengan tiada syak namun demikian haram kita menyatakan Al Quran yang lafzi yakni yang ada di dalam mashaf (suratan) itu makhluk tujuannya ialah untuk beradab kepada kalam Allah yang hakiki kerana ditakuti mendatangkan sangkaan kepada khalayak ramai seolah – olah kalam Allah yang nafsi yang qaim pada zat Allah itu makhluk kerana kalam Allah yang nafsi itu adalah asal dan makna kepada Al Quran yang lafzi yang ada di atas dunia ini melainkan di dalam majlis belajar dan mengajar untuk menerangkan perkara yang sebenarnya.

Ini samalah seperti seseorang yang menunjukkan kalimah “Allah” kepada khalayak ramai lalu berkata ini bukan Tuhan kita.Walaupun dia bermaksud benar kerana yang dimaksudkan ialah tulisannya itu bukan Tuhan namun perbuatannya tetap haram dan biadab.Maka dengan sebab itu haram kita mengatakan Al Quran yang ada di dalam mashaf itu makhluk walaupun yang kita maksudkan adalah tulisannya kerana dapat mendatangkan sangkaan seolah - olah Al Quran kalam yang nafsi itu makhluk kerana ianya adalah asal dan makna bagi Al Quran yang lafzi , bahkan wajiblah kita mengatakan secara umum bahawa Al Quran itu kalam Allah dan bukan makhluk.Melainkan di dalam majlis mengajar dan belajar baharulah boleh diterangkan perincian yang sebenarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SYARI'AT HAKIKI Designed by Templateism | Blogger Templates Copyright © 2014

Imej tema oleh richcano. Dikuasakan oleh Blogger.